Print
Category: Profil Sekolah
Hits: 313

Dalam sejarah pendidikan di Terengganu khususnya pendidikan bahasa penghantar Inggeris, Sekolah Menengah Sultan Sulaiman tidak dapat dipisahkan. Jalur perkembangannya sangat menarik. Sejarahnya bermula pada tahun 1920. Orang yang bertanggungjawab kepada kewujudannya ialah En. Abdullah bin Taib. Beliau diberi tugas mengelolakan kelas berbahasa Inggeris dengan menumpang di Sekolah Melayu Paya Bunga. Waktu belajar antara pukul 1.00 tengahari hingga 4.00 petang. Sidang paginya digunakan oleh sekolah itu sendiri. Setelah 5 tahun kelas itu berjalan, En. Abdullah digantikan oleh En. G.M. Nayar dan kemudiannya diiktiraf sebagai Guru Besar pertama. Kelas bertambah menjadi 4 tetapi jumlah muridnya hanya 35 orang dengan dua orang guru. Darjah paling tinggipada waktu itu ialah setakat darjah tiga. Akibat murid semakin ramai hingga meningkat 100 orang, pihak yang berkuasa pada masa itu telah memindahkan pelajar ini menumpang ke sebuah bangunan berhampiran istana Maziah. Pemindahan ini bererti memisahkan kelas bahasa penghantar Inggeris ini ke satu tempat khas dengan menamakan pula “Goverment English School”. Darjah tertinggi kepada darjah VII. Walau bagaimanapun kerana guru masih tidak bertambah (2 orang), maka pembelajaran dibuat dalam dua sidang pagi dan petang. Pada tahun 1936, “Government English School” berpindah ke bangunan sementara di kawasan Batas Baru (bekas stor JKR). Pada masa yang sama Penasihat British pada wakti itu En. J.E.Kempe telah meninjau perkembangan sekolah tersebut lalu mengesyorkan sebuah bangunan baru dibina. Bangunan baru cadangan Penasihat British itu siap sepenuhnya pada tahun 1938 di Jalan Gong Wan Abas (Tapak SRSS 1 sekarang). Bangunan ini lah dinamakan “Sultan Sulaiman English School”. Pada tahun 1939, En.N.G. Nayar yang berkhidmat di tiga buah bangunan yang sentiasa berpindah itu diganti oleh Guru Besar baru iaitu En.E.H.S. Bretherton, kemudiannya digantikan pula oleh En.N. Ress pada tahun berikutnya. Apabila En.G.A.Machado mengambilalih pada tahun 1941, perang dunia kedua meletus yang memaksa sekolah itu ditutup sehingga tahuhn 1946. Selepas perang dunia kedua, En.G.Amachado diberi tugas menyambung khidmatnya sehingga tahun 1949.

Dalam Masa perkhidmatannya, iaitu pada tahun1948, sekumpulan pelajar buat kali pertamanya memasuki Cambridge School Certificate. Pada tahun 1951, satu tragedi menimpa sekolah ini. Pada malam 12 Julai selepas pelajar menyelesaikan temasya sukan kali ke-5, seluruh bangunan sekolah dijilat api. Yang terselamat hanya beberapa bilik Asrama Putera. Bangunan sementara terpaksa dibina. Bangunan yang bertiangkan kayu bulat, berdindingkan kajang dan beratapkan daun nipah siap dalam masa dua bulan. Dalam masa menunggu bangunan sementara itu siap pelajar ditempatkan buat sementara di Istana Maziah. D.Y.M.M. Al-Sultan telah berkenan membenarkan Istana itu dijadikan bilik darjah untuk beberapa kelas. Sebagai catatan sejarah juga pada tahun 1952 ”Sultan Sulaiman English School” buat pertama kalinya mengeluarkan majalah sendiri berjudul ”THE SULAIMANIANS”. Dua tahun kemudian, dalam keadaan kelengkapan yang serba kekurangan sekolah ini mula mengajar ”Sains AM” untuk tingkatan empat (Darjah 8). Kumpulan pertama yang mengambil mata pelajaran ini menduduki peperiksaan pada tahun berikutnya dan dilaporkan mencapai keputusan cemerlang. Pada waktu yang sama, pihak berkuasa berjaya menemui satu kawasan seluas 44.4 ekar berhampiran Kuala Ibai bagi dijadikan ”Sultan Sulaiman English School” yang tetap.Dua blok bangunan dua tingkat (Blok Jebat dan Kasturi) dan sebuah blok pejabat juga untuk perpustakaan telah dibina dan siap sepenuhnya pada tahun 1956. Bangunan awal ini dirasmikan pada 1 Ogos.

Pembangunan fizikal mula berlaku dengan pesatnya selepas itu. Setahun kemudian, Asrama putera dibina. Dengan siapnya asrama itu pelajar yang selama ini di tempatkan di asrama Batas Baru dibawa ke asrama baru ini. Ketika negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, jumlah pelajar telah meningkat kepada 1122 orang dalam 15 kelas. Pada masa ini Bahasa Latin masih diajar tetapi dipelajari oleh sebilangan murid tingkatan satu hingga empat. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, tambahan murid, bidang pelajaran dan lain-lain memaksa pihak berkuasa membina beberapa blok tambahan lain. Jadi, untuk menyesuaikan dengan perkembangan pelajaran satu blok makmal sains dan satu blok untuk pelajaran pertukangan dan masakan dibina pada tahun 1958.

Perkembangan yang agak menarik ketika En. Keong Tatt menjadi Guru Besar ialah bermulanya Sekolah Menengah Melayu atau aliran Melayu. Mulai tahun 1958 hingga 1963, kelas aliran Melayu terpaksa menumpang disini sebelum pelajarnya berpindah ke Sekolah Menengah Padang Midin pada tahun 1964.